ANALISIS KAEDAH TAGHAYYUR AL-HUKM BI TAGHAYYUR AL-ZAMAN WA AL-MAKAN (AL-‘URF) DALAM HUKUM ISLAM DARI PERSPEKTIF MAQASID AL-SHARI’AH

Muhammad Safwan Harun, Luqman Haji Abdullah, Muhammad Ikhlas Rosele, Abdul Karim Ali

Abstract


Dunia Islam kini telah terdedah kepada kemodenan teknologi dan sains samada yang dicetuskan oleh barat mahupun melalui revolusi dunia Islam sendiri. Keadaan tersebut memberi kesan terhadap cara hidup muslim hasil interaksi mereka dengan kemodenan tersebut. Realiti ini tidak dapat dinafikan kerana syariah Islam ialah sebuah sistem yang dinamik dan relevan terhadap semua zaman dan tempat. Lantaran itu, konsep taghayyur al-hukm bi taghayyur al-zaman wa al-makan dianggap salah satu fundamental ijtihad fekah. Namun begitu, perubahan hukum tidak berlaku secara mudah dengan alasan perubahan zaman dan tempat semata-mata. Malangnya konsep taghayyur dijadikan asas secara meluas dalam meneliti setiap hukum Islam secara mutlak oleh sebahagian sarjana Islam. Walaupun begitu, sebahagian sarjana menegaskan bahawa perubahan tempat dan masa tidak memberi kesan kepada hukum Islam secara langsung. Misalnya, riba diharamkan sekalipun berada dalam negara minoriti muslim kerana ia adalah sebahagian daripada taklif syarak yang wajib dihindari dalam muamalat Islam. Keadaan ini memberi faham bahawa syariat kekal untuk dilaksanakan sekalipun terdapatnya perubahan tempat dan zaman. Justeru, kajian ini dilaksanakan bagi menyelesaikan dua objektif iaitu (1) menjelaskan kaedah fiqh taghayyur al-hukm bi taghayyur al-zaman wa al-makan dan (2) menganalisis doktrin aplikasi kaedah tersebut dalam hukum Islam semasa. Bagi menyelesaikan objektif tersebut, kajian dijalankan dengan menggunakan kaedah campuran dalam proses pengumpulan dan analisis data. Kajian menyimpulkan bahawa, tempat dan masa adalah dua elemen asas yang sering digunakan sebagai hujah secara mutlak untuk mengabaikan nas wahyu dalam menentukan hukum Islam semasa tanpa rangka kerja yang tepat.

Keywords


uruf; maqasid al-shari’ah; maslahah; hukum Islam semasa

Full Text:

PDF


Copyright (c) 2021 Jurnal ILMI